fbpx

Angka korban gempa bumi Tibet meningkat kepada 126

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA buah rumah rosak akibat gempa bumi di Shigatse semalam. - Foto AFP

BEIJING – Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat pada waktu malam selepas gempa bumi besar mengorbankan sekurang-kurangnya 126 orang, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Gempa bumi itu turut merosakkan lebih 3,000 bangunan di kawasan terpencil rantau Tibet di China, berhampiran Gunung Everest.

Menurut media China, seramai 188 orang lagi cedera selepas gempa bumi melanda kaki bukit Banjaran Himalaya pada kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan), semalam.

Operasi menyelamat berskala besar telah dilancarkan dengan mangsa-mangsa yang terselamat turut berada dalam tekanan kerana suhu diramalkan turun serendah -16 darjah Celsius.

Gempa bumi adalah perkara biasa di rantau itu yang terletak pada garis sesar geologi utama tetapi kejadian tersebut adalah antara yang terburuk kerana mengakibatkan paling banyak kematian di China dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut data Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berukuran 7.1 magnitud dan melanda pada kedalaman 10 kilometer.

Ia turut dirasai di Nepal dan beberapa bahagian di India yang berjiran dengan Tibet.

Satu rakaman video yang diterbitkan oleh stesen televisyen CCTV memaparkan sejumlah rumah musnah dan bangunan roboh di bandar Shigatse dengan pekerja-pekerja penyelamat ‘meredah’ serpihan serta menyerahkan selimut tebal kepada penduduk tempatan.

Suhu di daerah Tingri berhampiran pusat gempa bumi di kaki bukit utara Himalaya adalah serendah -8 darjah Celsius sebelum malam, demikian menurut Pentadbiran Meteorologi China.

Media kerajaan melaporkan, setakat pukul 7 malam (waktu tempatan), kira-kira 3,609 bangunan telah runtuh sekali gus berpotensi menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat berteduh. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI