fbpx

K2

AkmalJHD mahu bawa Malaysia ‘mendunia’ dalam e-FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL

DALAM keghairahan Malaysia melonjakkan ranking Harimau Malaya di pentas bola sepak dunia, seorang anak muda turut memiliki impian sama, tetapi di dunia maya.

Bukan angan-angan Mat Jenin, pemilik nama Ahmad Akmal Abdul Rafil telah membuktikan kemampuannya apabila memenangi pelbagai pertandingan di dalam dan luar negara.

Pemuda yang lebih mesra dengan gelaran AkmalJHD itu muncul sebagai atlet Malaysia pertama memenangi Kelayakan Serantau Asia Timur Siri Global EA Sports FIFA pada 2021.

Tidak terhenti di situ, AkmalJHD juga berjaya membantu pasukannya bergelar juara ePiala Malaysia 2021 dan 2022 serta juara ePiala FA Malaysia 2024.

Atas kejayaan demi kejayaannya itu, pemain JDT|GBX Esports tersebut diberikan penghargaan sebagai Pemain Terbaik Permainan Sukan Malaysia 2023. Penghargaan pada penganjuran Anugerah Esports Malaysia tersebut menjadikan anak jati Putrajaya itu sebagai insan pertama merangkul gelaran tersebut.

Mengimbau mengenai pengalaman pertamanya memasuki dunia e-sport, Akmal akui sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menyertai pertandingan-pertandingan
kecil di sekitar Semenanjung Malaysia.

“Usia saya dalam lingkungan 16 tahun ketika saya mula-mula aktif menyertai pertandingan FIFA e-sport anjuran pelbagai pihak seperti majlis-majlis perbandaran.

“Dari situ saya sedar mengenai bakat saya. Tetapi saya berhenti seketika untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan mula serius pada tahun seterusnya,” katanya kepada K-Remaja.

Pada tahun 2019, atlet yang kini berusia 24 tahun itu mula menyertai pasukan e-sukan daripada liga bola sepak sosial bernama Klasiko dan memenangi gelaran Asia pada 2021.

Pencapaian demi pencapaian yang diraih AkmalJHD telah menarik minat pasukan GBX Esports untuk melamarnya menyertainya mereka pada tahun yang sama.

Kemudian, pasukan tersebut bergabung dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada penghujung 2022 sekali gus membentuk pasukan JDT|GBX Esports.

AKMALJHD (kanan) juga berjaya membantu pasukannya bergelar juara ePiala FA Malaysia 2024.

Sedikit latar belakang, ePiala Dunia FIFA merupakan kejohanan esport global tahunan yang menyaksikan pemain FIFA terbaik dunia bersaing untuk gelaran juara.

Kejohanan ePiala Dunia FIFA menumpukan versi konsol yang dimainkan menerusi platform seperti PlayStation dan Xbox.

Permainan FIFA juga berkembang merentasi pelbagai platform, termasuk dalam telefon mudah alih (ePiala Dunia FIFA mobile) dan papan kekunci (FIFA Online).

Dedah AkmalJHD, cabaran paling sukar untuk muncul juara e-Piala Dunia FIFA adalah saingan daripada negara Eropah dan Amerika Selatan.

“Kami telah berjaya menguasai Asia, tetapi agak sukar untuk mengatasi corak permainan dari Eropah dan Amerika Selatan yang sentiasa tangkas mengatasi lawan.

“Mereka memiliki ekosistem yang lebih kompetitif sekali gus memberikan mereka peluang untuk mengasah kemahiran berfikiran strategik mereka,” katanya.

Untuk rekod, AkmalJHD mendapat tempat kesembilan dan ke-16 Piala Dunia Kelab FIFAe 2022 sekali gus memperoleh kemenangan sebanyak $2,250 (RM10,046.25).

Kemuncak kejayaannya adalah pada 2023 iaitu mendapat tempat kedua di Siri Global FIFA 23 untuk Kelayakan Asia Selatan serta meraih tempat ke-17 dan ke-24 di Piala Negara-Negara FIFA 2023.
Secara keseluruhan, AkmalJHD telah mengumpul wang hadiah kira-kira RM150,000 hingga RM180,000 daripada kejohanan-kejohanan yang disertainya pada tahun tersebut.

Anak kedua daripada dua adik-beradik itu juga pernah menjadi jurulatih membimbing pasukan Malaysia untuk meraih pingat gangsa dalam kategori FIFA Online pada kejohanan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Akui tidak mudah untuk beradaptasi dengan corak permainan Eropah, namun AkmalJHD yakin Malaysia memiliki bakat yang mampu membuktikan keupayaan tersebut.

Ini kerana Malaysia telah membuktikan perkara tersebut apabila berjaya menjuarai ePiala Dunia FIFA mobile menerusi aksi terbaik Skuad Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM e-Rimau pada Disember lalu.

Katanya, pemain-pemain Malaysia mampu mencipta kejutan sekiranya diberi lebih pendedahan dengan corak permainan kompetitif di Eropah dan Amerika Selatan.

“Saya perasan pemain di Eropah dan Amerika Selatan memiliki kebolehan untuk berfikir dan mereka membuat keputusan dengan pantas dalam apa jua situasi permainan.

“Walaupun kami berusaha beradaptasi corak permainan mereka, namun mereka tetap mampu memberi serangan balas dengan cepat tanpa hilang bola.

“Dengan lebih pendedahan terhadap permainan kompetitif di Eropah dan Amerika Selatan, kami yakin dapat mengasah kemahiran kami setara dengan mereka,” katanya.

Mengulas berkenaan perancangan masa depan, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai salah satu nama besar dalam permainan FIFA satu hari nanti.

Biarpun sibuk membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya e-sport pada tahun ini, AkmalJHD yakin mampu terus menyumbang dalam arena sukan tersebut sebelum ‘bersara’.

“Saya dengan pasukan saya berada di landasan tepat untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu nama besar dalam arena permainan FIFA.

“Saya berharap perkara itu dapat dicapai sebelum saya berusia 27 tahun kerana selepas itu, saya memiliki perancangan untuk tumpu pada kerjaya hakiki saya sebagai jurutera,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI