DALAM era teknologi serba canggih, kemudahan sepatutnya menjadi pelengkap hidup manusia. Namun, di sebalik manfaat tersebut, ancaman penipuan siber semakin menjadi-jadi. Tidak kira secermat mana langkah diatur, kelicikan penjenayah sentiasa mendahului hinggakan ramai menjadi mangsa, termasuklah figura terkenal tanah air.
Pengalaman sebegitu turut dialami pelakon dan pengarah tersohor, Datuk Afdlin Shauki, apabila mengalami kerugian besar akibat ditipu seorang individu.
Dalam satu penipuan berprofil tinggi, pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan itu kehilangan RM224,750 ketika berusaha mencari dana bagi membuka stesen televisyen impiannya.
“Saya pernah kena sekali, sampai ke Singapura. Waktu itu, saya sedang berusaha mendapatkan dana bagi membuka stesen TV sendiri.
“Saya dibawa ke Marina Bay, Singapura untuk berjumpa individu tersebut. Mesyuarat pula diadakan di atas kapal layar mewah, jadi saya tidak terfikir langsung untuk curiga,” katanya kepada HibGlam.
Kata Afdlin, tipu daya itu disusun dengan rapi sehingga dia sukar mengenal pasti sebarang kejanggalan. Bagi meyakinkan dirinya, individu tersebut malah mengatur sesi tanda tangan kontrak di London, bertempat di sebuah bank bertaraf elit.
Penipuan elit
Keadaan tersebut membuatkan Afdlin percaya sepenuhnya kesahihan urusan berkenaan.
“Segala-galanya nampak seperti urusan profesional. Dia mendakwa memegang dana yayasan golongan pesara di United Kingdom.
“Apabila saya semak laman web yayasan tersebut, memang ada gambar wajahnya. Malah, syarikat yang dikaitkan juga wujud secara sah. Semua ini menambah keyakinan saya,”
“Jiwa saya rasa seolah-olah stesen TV idaman sudah dalam genggaman. Tapi, rupa-rupanya semua itu hanyalah mimpi. Dia sebenarnya scammer profesional,” ujarnya penuh kesal.
Biarpun laporan polis telah dibuat, pelakon filem Papadom itu akur bahawa usaha menjejaki penipu sebegitu bukan sesuatu yang mudah.
“Kerugian saya sangat besar, iatu RM224,750. Jumlah itu hanya untuk membayar khidmatnya sebagai perunding . Saya pernah muat naik gambar dia di Facebook dan ramai orang Indonesia turut mengenalinya.
“Mereka bertanya sama ada urusannya sah atau tidak. Rupa-rupanya, ramai yang telah menjadi mangsanya. Hari ini, dia sudah membuka bank sendiri di luar negara.
“Laporan polis memang dibuat, tapi tiada apa yang boleh dilakukan kerana dia sangat licik dan sering berpindah-randah,” katanya dengan nada kecewa.
Enggan membiarkan pengalaman pahit itu berlalu tanpa sebarang pengajaran, Afdlin mencurahkan idea dan pengalaman ditipu ke dalam drama bersiri terbaharu arahannya, Din Tiger.
Drama tersebut mula ditayangkan menerusia Unifi TV bermula 6 Januari 2025 (kelmarin).
“Saya mahu masyarakat faham bahawa penipuan seperti ini boleh menimpa sesiapa sahaja. Sebijak mana pun kita, mereka lebih bijak.
“Melalui Din Tiger, saya cuba mengetengahkan elemen-elemen ini sebagai peringatan kepada semua agar lebih berhati-hati dalam setiap urusan,” katanya.
Naskhah Din Tiger turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Mia Sara Shauki, Datin Seri Nina Juren, Josiah Hogan, dan Adam Corrie Lee.
Pengalaman getir yang dilalui Afdlin menjadi bukti bahawa ancaman penipuan siber bukan hanya menghantui golongan biasa, tetapi juga mereka yang berpengaruh.
Hakikatnya, kelicikan penjenayah sentiasa mengatasi jangkaan. Masyarakat diseru agar sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan agar tidak terjerat di tangan mereka yang tidak berperikemanusiaan.