KUALA LUMPUR – Seramai 59 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu buku ‘Becoming Hannah’ yang ditulis Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, sebanyak 182 laporan polis diterima di seluruh negara.
“Jumlah keseluruhan laporan polis adalah sebanyak 182 telah diterima manakala kita telah rakam keterangan daripada 59 individu bagi membantu siasatan.
“Keterangan YB Hannah Yeoh masih belum diambil,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis akan memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk direkod keterangan berhubung isu buku ‘Becoming Hannah’.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sebanyak 157 laporan polis diterima dan 45 individu telah dirakam keterangan.
Sebelum ini, berapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan terhadap Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara itu pada satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada 3 Januari 2020.
Beliau mendakwa, Musa antara lain menuduhnya menulis buku ‘Becoming Hannah’ untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia selain mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara. – KOSMO! ONLINE.