fbpx

Zii Jia tarik diri dua lagi kejohanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA mahu mengambil masa lebih lama untuk proses pemulihan sejak mengalami kecederaan pada Jelajah Dunia Akhir hujung tahun lalu. - AFP

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia memutuskan untuk berehat lebih lama bagi memberi tumpuan pemulihan kecederaan apabila menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka India dan Indonesia Masters bulan ini.

Bintang No. 6 dunia itu ditimpa kecederaan ligamen buku lali kanan sewaktu Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada Disember lalu dan menyebabkannya terpaksa menarik diri daripada Terbuka Malaysia yang bermula hari ini.

“Zii Jia tidak akan memulakan debutnya untuk musim 2025 kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen buku lali kanan dialami semasa Jelajah Dunia Akhir 2024 pada Disember.

“Zii Jia disahkan terlepas dua lagi kejohanan pada bulan Januari ini iaitu Terbuka India dan Indonesia Masters.

“Pasukan LZJ bersama pakar perubatan akan terus memantau kecederaan Zii Jia untuk membuat persediaan terbaik bagi kejohanan seterusnya,” kata Team LZJ dalam satu kenyataan hari ini.

Terbuka India di New Delhi, India yang memiliki status Super 750 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 19 Januari, manakala saingan Indonesia Masters di Istora Senayan, Jakarta bermula 21 hingga 26 Januari.

Nama Zii Jia, 26, juga tidak berada dalam senarai daftar pemain dalam kedua-dua kejohanan tersebut seperti dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Zii Jia yang kini berada di bawah bimbingan jurulatih Yeoh Kay Bin telah pun mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial, Jumaat lalu, mengesahkan bahawa dirinya masih belum cukup cergas dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI