BANGKOK – Vietnam kembali membuktikan status mereka sebagai gergasi Asia Tenggara apabila menjuarai Piala Asean 2024 hasil kemenangan 5-3 secara agregat ke atas bekas juara tujuh kali, Thailand di perlawanan akhir.
Skuad Golden Stars menebus kekecewaan dua edisi lalu dengan merampas kejuaraan tersebut apabila menang 2-1 ke atas Thailand di Viet Tri dalam final pertama sebelum menewaskan lawan itu 3-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok pada aksi kedua kelmarin.
Menariknya, penyerang naturalisasinya dari Brazil, Nguyen Xuan Son muncul pemain paling bernilai dan penjaring terbanyak dengan tujuh gol selain Nguyen Dinh Trieu turut dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.
Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik berharap ia akan menjadi permulaan era baharu kepada kejayaan bola sepak negara itu di peringkat lebih tinggi selepas ini.
“Ini adalah sejarah baharu. Perlawanan sukar di stadium yang cukup mencabar. Saya menang banyak gelaran di peringkat kelab tetapi ini adalah trofi pertama bersama pasukan kebangsaan dan ia sangat bermakna.
“Ini saat yang membanggakan tetapi perjalanan kami baru bermula. Saya sebenarnya tidak sabar untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia dan Sukan SEA Thailand 2025,” kata pengendali dari Korea Selatan itu.
Beraksi di depan lebih 43,000 penyokong Thailand langsung tidak menggentarkan Vietnam apabila Pham Tuan Hai membuka tirai jaringan seawal minit kelapan sebelum Ben Davies mengikat kedudukan 1-1.
Tidak lama kemudian, Xuan Son yang meledak dua gol pada final pertama, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas patah kaki dalam aksi yang turut menyaksikan pemain tengah Thailand, Weerathep Pomphan dilayangkan kad merah.
Biarpun Thailand meledak gol kontroversi menerusi rembatan jauh Supachok Sarachat yang didakwa tiada semangat kesukanan, namun Vietnam membuktikan kehebatan dengan dua jaringan lewat untuk menang 3-2. – AGENSI