PETALING JAYA – Pengetua dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Pulai, Perak ‘menggelabah’ menghubungi ibu bapa pelajar apabila ada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tiba lewat ke sekolah disebabkan cuaca hujan.
Menerusi perkongsikan TikTok SMK Simpang Pulai, pihak sekolah memuat naik video guru-guru sedang sibuk menghubungi ibu bapa calon yang belum tiba ke sekolah dan ketika itu cuaca hujan.
“Pada hari hujan 15 minit lagi calon-calon kena masuk dewan peperiksaan. Tapi ada yang belum sampai, semua main peranan hebat.
“Ayahanda tuan pengetua, barisan pentadbir, setiausaha peperiksaan, unit kaunseling, unit kecemerlangan SPM, guru bertugas, guru kelas masing-masing ‘call’ ibu bapa dan murid untuk bertanyakan keberadaan.
“Semoga semua calon SPM menjawab dengan tenang untuk kertas Sejarah hari ini, kertas-kertas sebelum ini dan seterusnya,” menurut kapsyen video yang dimuat naik hari ini.
Pada video itu juga, kelihatan pelajar lewat tiba menaiki motosikal dan mereka segera berlari masuk ke dewan peperiksaan.
Usaha pengetua dan guru-guru mendapat pujian orang ramai yang terharu dengan kesungguhan mereka bagi memastikan setiap calon SPM menduduki peperiksaan tersebut.
“Aku baca ni pun boleh sebak, betapa besar harapan dan ambil berat cikgu dan sekolah. Apatah lagi keluarga dan anak-anak, semoga berjaya semua,” komen seorang pengguna TikTok.
“Terharu tengok betapa cikgu ambil berat anak-anak nak SPM, terima kasih cikgu,” kata seorang individu.
“Kasihan anak-anak nak ambil periksa. Hujan pula, semoga dipermudah urusan anak-anak,” kata seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE.
@smk_sp0 Ceritera hari peperiksaan SPM .. hari ini paper Sejarah.. subjek wajib lulus… hujan.. ramai calon dtng lewat … guru2 pula naik gelabah.. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan urusan .. #batch07 #spm2024 #sejarah #papersejarah #webuildsuccesstogether #espianpower #schoollife ♬ Epic Modern Motivation – KatCaMusic