PETALING JAYA – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sanggup menjadi tangga kaki bagi memudahkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki kenderaan agensi itu untuk dihantar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan.
Menerusi video tular di TikTok, anggota APM tersebut merendahkan dirinya di tepi kenderaan dan menjadikan peha kirinya sebagai tangga untuk pelajar tersebut memijaknya.
Kejadian berlaku di Cameron Highlands semalam, yang mana calon SPM itu terkandas susulan kejadian tanah runtuh.
“Anggota APM Cameron Highlands sediakan tangga kaki untuk kejayaan calon SPM yang terkandas tanah runtuh,” menurut kapsyen itu.
Tindakan anggota APM tersebut mendapat pujian daripada orang ramai selain ramai yang mendoakannya dimurahkan rezeki.
“Hormat penuh buat abang APM,” komen seorang pengguna TikTok.
“Terbaiklah abang APM, moga Allah permudah segala urusan abang,” kata seorang individu.
“Terima kasih abang APM. Semoga setiap pijakan itu mendapat ganjaran pahala daripada Allah,” ujar individu lain.
Semalam Kosmo! melaporkan, APM Cameron Highlands membantu menghantar 11 calon SPM 2024 ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Raja susulan kejadian tanah runtuh.
Pegawai APM Cameron Highlands, Md. Hazli Hanifah Mohd. Hanafi dilaporkan berkata, bantuan itu susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Besar Kampung Raja, Simpang 3 Blue Valley kira-kira pukul 2 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE
@bos_mfanz #angkatanpertahananawammalaysia #angkatanpertahananawam #apm #apmpahang #apmcameronhighlands #bencanaalam #2025 #tanahruntuh ♬ The Epic – OlexandrMusic