PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap peminat bola sepak negara tidak lagi terpengaruh dengan sumber berita yang tidak sahih terutama melibatkan pemain-pemain berdarah warisan dari luar negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, lebih baik pihak luar yang ada informasi mengenai mana-mana pemain yang berpotensi untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan secara terus ke badan induk itu.
“Saya harap selepas apa yang berlaku sebelum ini, peminat dapat menjadi lebih matang dan tunggu sahaja berita rasmi daripada FAM.
“Namun, jika ada pihak luar yang ada maklumat tambahan, mungkin boleh salurkan secara terus agar kami dapat membuat tindakan lanjut,” katanya kepada Kosmo!.
Sebagai rekod, arena bola sepak tempatan terpaksa ‘menanggung malu’ apabila beberapa pemain yang berpangkalan di Eropah telah menafikan ada pertalian darah dengan Malaysia.
Kapten skuad Burnley yang beraksi di Liga Kejuaraan England, Josh Brownhill antara pemain yang mengeluarkan kenyataan rasmi apabila mengakui tiada langsung pertalian darah dengan Malaysia.
Malah, pemain Newcastle United, Isaac Hayden turut mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial peribadi dengan harapan peminat berhenti mengaitkan dirinya dengan skuad Harimau Malaya.
Minggu lalu, keluarga penyerang muda Belanda, Iggy Houben turut menafikan dakwaan pencari bakat laman sosial, frfuturetalents bahawa pemain PSV Eindhoven itu ada salasilah dengan Malaysia.