KAMPAR – Inisiatif ternakan ikan air tawar diperkenalkan di Kampung Makmur, Sungai Galah di sini menerusi Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani).
Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Perak, Mazlan Zurin Zulkifli berkata, inisiatif diperkenalkan itu bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti setempat dengan memanfaatkan teknologi moden yang lebih kos efektif dan mesra alam.
“Projek ternakan ikan dalam kanvas ini dilihat sebagai penyelesaian yang lebih praktikal dan ekonomikal berbanding dengan kaedah tradisional seperti kolam tanah atau tangki plastik.
“Kaedah ini bukan sahaja mudah dipasang tetapi juga mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih rendah, menjadikannya pilihan yang ideal untuk pengusaha akuakultur terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan projek ternakan ikan air tawar berkenaan yang menggunakan dana berjumlah RM100,000 yang disalurkan melalui SejaTi Madani.
Mazlan Zurin turut berharap projek itu dapat menjadi contoh kepada komuniti lain dalam pengurusan sumber dan dana secara berkesan dan bertanggungjawab dan keuntungan atau hasil diperoleh dapat dipulangkan kembali kepada komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Makmur, Mohammad Fauzi Ahmad Shaharuddin, idea untuk menjalankan ternakan ikan air tawar dalam kanvas telah dipertimbangkan sejak sekian lama.
Dia berkata, kaedah ternakan alternatif itu sangat baik kerana ia dapat mengurangkan risiko dan kos, serta memberi keuntungan jangka panjang.
“Dengan permintaan ikan air tawar yang sentiasa tinggi di pasaran, projek ini diyakini dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada komuniti setempat,” katanya.
Projek itu dimulakan pada Ogos 2024 dan mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak, termasuk Pejabat Perikanan Daerah Perak Tengah yang menyediakan benih ikan keli pada 18 Oktober 2024. – KOSMO! ONLINE