KUALA LUMPUR – Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia tergendala selepas bumbung di Axiata Arena, Bukit Jalil berlaku kebocoran hingga menyebabkan air hujan memasuki gelanggang dua dan tiga akibat hujan lebat yang melanda.
Perlawanan antara beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menentang pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian tergendala sementara dan petugas dilihat membentangkan kain di gelanggang, sebentar tadi.
Kebocoran itu sekali gus mengakibatkan gelanggang dua dibasahi oleh air hujan ketika pasangan China itu mendahului perlawanan 11-10 di set pertama ke atas Pei Kee-Mei Xing.
Insiden terbabit itu turut menjejaskan gelanggang tiga yang mana sedang berlangsung perlawanan perseorangan lelaki antara pemain Kanada, Brian Yang menentang jaguh India, H.S. Prannoy.
Kebocoran tersebut jelas menganggu rentak Prannoy yang selesa memenangi set pertama 21-12 yang mana kini sedang mendahului set kedua 6-3, ketika ini. – KOSMO! ONLINE