fbpx

Tang Jie-Ee Wei mara, Pearly-Thinaah tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika menentang pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, di Axiata Arena, di sini, hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Ee Wei berjaya mengubati kekecewaan kem badminton negara apabila menjadi wakil Malaysia pertama yang berjaya mencatat kemenangan untuk menempah tiket ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.

Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan menampilkan aksi cukup luar biasa apabila hanya memerlukan 27 minit untuk mengatasi wakil Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun menerusi kemenangan straight set 21-8, 21-9.

“Sudah tentu kita mahu main dan menang dan kami tidak fikir sangat rakan-rakan yang kalah. Fokus kami hanya pada perlawanan sendiri. Kami sokong sesiapa sahaja kerana mereka semua (terkandas) wakil Malaysia,” katanya.

Kemenangan tersebut amat bermakna buat Tang Jie-Ee Wei kerana menjadi wakil Malaysia pertama yang berjaya mara ke pusingan kedua selepas tujuh pemain negara masing-masing menemui jalan pulang di laman sendiri.

Hasil kemenangan tersebut, Tang Jie-Ee Wei dijadual akan berdepan pasangan Taiwan, Ming Che Lu-Hung En Tzu selepas mereka melakukan kejutan menumbangkan pasangan Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin menerusi keputusan 26-28, 21-14, 22-24.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila terpaksa tunduk kepada ke atas gandingan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti menerusi keputusan 21-19, 14-21, 13-21 dalam tempoh 63 minit.

AKSI beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah ketika menentang pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

“Saya rasa kesilapan kami adalah mengikut gaya permainan lawan di penghujung set ketiga. Kami tahu mereka adalah pasangan yang baru digandingkan, tapi kami juga tahu kemampuan mereka dan apabila mereka digandingkan bersama, pukulan mereka sukar diramalkan dan itu mengganggu corak permainan kami.

“Apapun, kami mohon maaf kerana gagal menang. Terima kasih kepada peminat kerana datang menyokong kami. Kami hargai sokongan dari anda semua dan berharap anda akan terus bersama kami,” kata Thinaah.

Tersingkir awal pada Terbuka Malaysia, fokus beregu wanita No. 1 Malaysia itu kini beralih kepada Terbuka India yang bermula minggu depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI