GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan tanah di Sungai Pinang yang akan digunakan bagi pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara adalah tapak yang sebelum ini dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah.
Sebaliknya, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tanah yang dirancang untuk pembinaan stesen LRT itu adalah tapak untuk pembinaan sekolah.
“Sebenarnya ia adalah untuk tanah sekolah dan perkara ini pun sudah kita bincang dengan Jabatan Pendidikan.
“Memandangkan ia telah dikenal pasti sebagai stesen LRT dan sekiranya LRT dibina maka baki tanah ini tidak mencukupi untuk sebuah sekolah dan itu pun sudah dibincangkan. Memang tanah ini bukan tapak untuk perumahan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis perhimpunan anggota perkhidmatan awam dan menyampaikan amanat beliau kepada penjawat awam di negeri ini.
Sebelum ini, Gerakan Pulau Pinang mendesak Kon Yeow menjelaskan sama ada tanah di Sungai Pinang yang akan digunakan bagi pembinaan stesen LRT Laluan Mutiara adalah tapak yang sebelum ini dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah atau sebaliknya.-KOSMO! ONLINE