KLANG – Nasib bekas pelumba motosikal negara, Md. Zamri Baba terus dibela apabila mendapat bantuan kerusi roda dan wang tunai daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), hari ini.
Isterinya, Fazlina Ahmad Fauzy, 42, berkata, pemberian kerusi roda tersebut seterusnya memudahkan pergerakan Md. Zamri, 42, yang sebelum ini terpaksa mengengsot susulan kerusi roda yang lama telah rosak sejak lima bulan lalu.
Katanya, dia secara peribadi terkejut bantuan itu dapat disalurkan dalam kadar segera selepas permohonan dibuat sebulan lalu.
“Kondisisi Zamri ketika ini tidak boleh berjalan dan hanya mengesot. Kami sekeluarga memang bersyukur apabila mendapat bantuan ini.
“Kalau ditanya perbelanjaan, memang memerlukan lebih RM1, 000 bagi pengurusan diri Zamri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kapar di sini, hari ini.
Terdahulu, Fazlina menerima sumbangan dan bantuan tersebut yang disampaikan Pengerusi Yakeb, Datuk Dr. Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Jelas Fazlina, tugas menjaga suaminya dilakukan secara bergilir-gilir dengan adik-beradiknya dengan kehidupan mereka disara menerusi hasil pendapatan kedai makan keluarganya yang dibuka di Jalan Astaka, Bukit Raja.
Selain itu, katanya, bantuan keperluan seperti pampers dan perubatan turut diperoleh hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor.
“Pada awalnya memang sukar dengan Zamri juga tidak mengingati saya dan harus diingatkan setiap masa ekoran kemalangan itu yang turut memberikan kesan kepada daya ingatannya.
“Namun, kini reda selain fisioterapi pun kami buat sendiri di rumah ekoran kosnya yang tinggi,” jelas ibu kepada dua anak berusia 11 dan 15 tahun itu.
Sebelum ini, kemalangan yang menimpa Zamri pada perlumbaan pusingan dua ARRC di Litar Sentul, Indonesia pada Jun 2015 telah menyebabkan mengalami kecederaan tulang belakang, kecederaan saraf otak serta hilang daya ingatan.
Sementara itu, Noorul Ariffin menjelaskan pihaknya turut menyalurkan elaun sara diri selama enam bulan bermula hari ini bagi meringankan beban bekas pelumba motosikal itu.
“Kita juga sedang melihat kepada kerjasama dengan hospital swasta bagi membantu proses pemulihannya.
“Untuk rekod, kita telah melaksanakan 119 program dan menyantuni 350 ahli dengan 25 menerima bantuan elaun sara hidup,” katanya. – KOSMO! ONLINE