SUNGAI PETANI – Sebuah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menempatkan buangan berjadual,buangan Elektrikal dan Elektronik di premis yang tidak mendapat kelulusan lesen oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dua tahun lalu.
Hakim Roslan Hamid mengenakan denda itu terhadap syarikat STN Union Sdn.Bhd selaku orang kena saman (OKS) selepas salah seorang wakilnya membuat pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan syarikat didakwa telah menempatkan buangan terjadual di bawah Kod SW110 Jadual Pertama Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Buangan Terjadual 2005 di premis yang tidak dilesenkan oleh JAS di Lot 3957 dan sebahagian Lot 3958 Mukim Bukit Selambau dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi pada 9 Disember 2023 lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas disampaikan notis oleh Ketua Pengarah mengkehendakinya menghentikan perbuatan itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JAS,Muniff Mat Rus manakala pihak syarikat tidak diwakili peguam.
Ketika diminta mengemukakan rayuan wakil syarikat berkenaan meminta mahkamah mengenakan denda minimun kerana telah memperolehi lesen di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling dari JAS selepas kejadian.
Manakala Muniff memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada syarikat terbabit kerana melakukan aktiviti kitar semula buangan terjadual tanpa lesen yang sah. – KOSMO! ONLINE