PETALING JAYA – Seorang bapa meluahkan rasa kecewa apabila ada individu yang mempertikaikan kejayaan anaknya sehingga sanggup menghina kanak-kanak tersebut gara-gara berstatus orang kelainan upaya (OKU).
Menerusi perkongsian bapa tersebut yang menggunakan akaun Facebook, Apih CN, dia memaklumkan telah memuat naik hantaran di status WhatsApp berkongsi kejayaan anaknya apabila berjaya mendapat tempat ketiga di dalam kelas.
“Celapak beli baju sekolah petang kelmarin, hari ini orang itu ada sesi fotografi sebab dapat nombor tiga dalam kelas,” kongsi Apih.
Bagaimanapun, hantaran tersebut dibalas oleh seorang kenalan yang juga merupakan pelanggan kedainya dalam keadaan menyindir.
“Sebab duduk dalam kelas budak-budak OKU boleh la dapat nombor tiga juga dalam kelas. Cuba kalau duduk kelas (murid) normal, tak adanya nak boleh (ada) nombor. Silap-silap nombor terakhir sekali,” sindir individu terbabit.
Kata Paih, adakah salah untuk dia berkongsi kegembiraan sebagai ibu bapa apabila melihat kejayaan anak-anak.
“Sakitnya sampai di sini tuan puan. Tak boleh ke saya ada sedikit kegembiraan? Tak layakkah saya untuk merasa sedikit kegembiraan tersebut? Hina sangat kah anak saya? Sampai tidak layak untuk diterima masyarakat?,” soalnya.
Perkongsian Paih itu turut mendapat perhatian ramai pihak sehingga tular dalam kalangan pengguna media sosial.
“Kalau kena dekat sata tahu la saya bahasakan cukup-cukup. Spesis ‘makhluk’ macam ini tak perlu kita beradab. Buang la nombor ‘makhluk’ ini dari senarai WhatsApp awak,” kata Adinda Siti.
“Tahniah dapat nombor tiga. Hebat adik, raikan kejayaan dia walau nampak kecil di mata orang, kita bahagia cara kita ya,” kata Farah Hanum. – KOSMO! ONLINE