BESUT – Seorang bapa seorang anak tidak menyangka kemalangan di tempat kerja tujuh tahun lalu menjadi permulaan mimpi buruk menyebabkan tahap kesihatannya merosot hingga menderita tujuh penyakit kronik.
Nik Mohd. Azwa Nik Yahya, 41, berkata, kemalangan di tempat kerja menyebabkan saraf mata kanannya rosak akibat penyakit glaukoma hingga memaksanya berhenti kerja sebagai pembantu jurutera.
“Saya yang menghidap diabetes pada masa itu tidak mampu lagj menggalas tugas sebagai pembantu jurutera lagi dan membuat keputusan membawa anak berusia 11 tahun dan isteri pulang ke kampung bagi memulakan kehidupan baharu pada 2018.
“Rupa-rupanya ujian tidak berakhir di situ, saya diuji satu persatu penyakit kronik sehingga pernah rasa putus asa dalam hidup,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Nik Mohd. Azwa berkata, ia bermula dengan didiagnos penyakit tekanan darah tinggi sebelum tumor usus selain masalah jantung, paru-paru dan usus.
Katanya sepanjang tempoh tujuh tahun ini, dia telah menjalani empat pembedahan berkaitan penyakit kronik dideritainya.
“Antara yang tidak dapat dilupakan, saya disahkan mempunyai tumor usus sewaktu menjalani pembedahan buah pinggang pada 2020.
“Saya terlantar lebih enam bulan selepas kedua-dua pembedahan itu. Tekanan sangat hebat sehingga pernah merasa tidak mahu ‘bangun’ lagi,” katanya.
Nik Mohd. Azwa terhutang budi kepada isteri, Siti Aisyah Osman, 37, dan keluarganya yang setia menjaga dan tidak putus-putus memberi harapan sehingga dia kembali bersemangat.
Katanya, dia kembali menjalani hidup selepas setahun kemudian walaupun dalam keadaan tidak sempurna dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Besut sehingga kini.
“Saya perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu dengan kos RM350 setiap kali rawatan.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Nik Mohd. Azwa bernombor 7012886851 (CIMB) atau menghubunginya di talian 011-3607 7071.