KUANTAN – Saya bukan ‘monster’, saya sudah banyak ‘sacrifice’ untuk keluarga tetapi saya tak verbal dan saya akan mempertahankan diri di mahkamah.”
Demikian kata Abd Zackery Ghouse Abd. Ghani, 46, mengenai krisis rumah tangga dengan isterinya yang juga bekas peragawati terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson.
Katanya, disebabkan pelbagai dakwaan yang dilaporkan pelbagai pihak dalam kes melibatkan rumah tangganya, dia menerima begitu banyak tohmahan yang dilemparkan netizen sedangkan perkara tersebut tidak benar.
“Saya mendapati seluruh rakyat yang mengikuti dia (Zahnita) menganggap saya ini seorang yang ganas, ‘monster’ yang memukul isteri dan menganiayai anak-anak itu. Itu tak betul.
“Saya adalah ayah, saya melindungi anak-anak termasuk anak bongsu saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Mahkota Height di sini hari ini.
Pada 5 Disember lalu, Abd Zackery didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan Zahnita yang juga bekas pelakon.
Pada 9 Disember pula, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan Zahnita untuk mendapat perintah perlindungan interim (IPO).
Mahkamah Tinggi Syariah Pahang pada 6 Disember lalu membenarkan hak jagaan sementara exparte diberikan kepada Zahnita selepas wanita memohon bagi mendapatkan jagaan anaknya.
Mengulas lanjut, Abd Zackery Ghouse berkata, dia tidak dapat tidur lena mengenangkan anak bongsunya kanak-kanak autistik yang kini berada bersama Zahnita.
Dia meluahkan rasa bimbang itu memandangkan anaknya pernah ‘hilang’ selepas keluar seorang diri dari rumah sebelum ditemukan selamat sebelum ini. -KOSMO! ONLINE.