fbpx

[VIDEO] Remaja perempuan tikam ibu saudara dibenar ikat jamin RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO! ONLINE

SEBERANG PERAI – Seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu saudaranya dengan pisau, Jumaat lalu.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut ketika pendakwaan ke atasnya dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Sebelum prosiding berlangsung, tertuduh yang mengenakan jaket berwarna coklat dilihat berada dalam keadaan bersahaja apabila disapa kedua ibu bapanya yang berada di galeri awam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau di sebuah flat di Jalan Prai Jaya, kira-kira pukul 11.30 pagi, 3 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.

Ketika prosiding, Muhaimin memohon jaminan yang minima dikenakan ke atas tertuduh memandangkan dia merupakan pesalah kanak-kanak dan dalam proses memasuki semula ke sekolah untuk sesi akan datang.

Mohd. Harith membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan saksi kejadian.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen perubatan dan forensik.

Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan seorang wanita terpaksa menahan kesakitan apabila ditikam pada perut oleh anak saudaranya dalam kejadian di Flat Jalan Perai Jaya di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku akibat pertengkaran mulut antara suspek dan ibu saudara mangsa berusia 35 tahun ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI