OTTAWA – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai pemimpin Parti Liberal, lapor portal berita Independent semalam.
Beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri Kanada sehingga parti itu memilih pengganti.
Ia adalah pengakhiran tempoh hampir 10 tahun beliau memegang jawatan itu apabila tekanan meningkat dalam kalangan pemimpin Parti Liberal.
Parti pemerintah itu ketinggalan jauh di belakang parti pembangkang, Parti Konservatif berdasarkan tinjauan pendapat umum.
“Saya berhasrat untuk meletak jawatan sebagai ketua parti dan sebagai perdana menteri selepas parti memilih pemimpin seterusnya melalui proses kompetitif yang mantap di seluruh negara.
“Negara ini berhak mendapat pilihan terbaik dalam pilihan raya akan datang. Jika saya terpaksa berdepan penentangan dalam parti, saya tidak boleh menjadi pilihan terbaik dalam pilihan raya itu,” kata Trudeau di kediamannya, Rideau Cottage.
Perbalahan tercetus dalam parti Trudeau selepas bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan cadangan memperkenalkan cukai import 25 peratus ke atas negara itu.
Sebelum ini, Trump merujuk kepada Kanada sebagai negeri ke-51 AS.
“Ramai orang di Kanada gembira jika negara mereka menjadi negeri AS yang ke-51,” kata Trump di platform miliknya, Truth Social.
Pada pertengahan Disember tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri Kanada , Chrystia Freeland secara mengejut meletakkan jawatan, memetik perbezaan pendapat tentang cara untuk berurusan dengan Trump dan cadangan tarif beliau terhadap Kanada.
Kanada akan mengadakan pilihan raya umum pada atau sebelum 20 Oktober tahun ini. – AGENSI