KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan bahawa insiden kebocoran bumbung tidak berulang selepas menyaksikan perlawanan dia dua gelanggang pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung di Axiata Arena terpaksa dihentikan sementara.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, kebocoran bumbung Axiata Arena berpunca daripada aktiviti pertukaran bumbung venue buat kali pertama semenjak ia digunakan pada Sukan Komanwel 1998 itu dilihat menjadi punca kebocoran tersebut berlaku.
Bagaimanapun, Iliyas memberi jaminan kejohanan bertaraf Super 1000 itu tetap akan dianjurkan tanpa gangguan kebocoran sehingga melabuhkan tirainya pada Ahad ini nanti.
“Kami sudah nampak mengenai permasalahan kebocoran di Axiata Arena yang berlaku pada petang tadi. Pihak kami dalam proses untuk memastikan kebocoran itu dapat ditutup segera.Saya rasa dalam tempoh masa kurang sejam lagi, kita akan selesaikanlah.
“Kami dalam proses untuk memastikan kebocoran ini tak berlaku dan memberi impak pada perlawanan malam ini serta perlawanan pada esok serta hari-hari seterusnya.
“Bumbung Axiata Arena telah mula proses pertukaran pada bulan 4 tahun lepas dan proses pertukaran ni dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKR telah pun melantik kontraktor untuk melaksanakan pertukaran bumbung ini tetapi dengan syarat kami tidak perlu untuk menutup venue ini.
“Sehingga sekarang perjalanan program ataupun acara tiap-tiap minggu berjalan dengan baik. Adalah bocor sikit sana sini tapi kita boleh tutup dengan segera. Entah kenapa hari ni, saya ingat dengan hujan dengan angin yang kuat petang tadi mungkin menyebabkan air itu boleh masuk.
“Mungkin kerana angin tu dia menolak melalui celah-celah itu dan mungkin itu adalah faktor-faktor kejadian ini berlaku. Jadi, kami menutup sementara dengan kanvas untuk menutup kebocoran itu sebelum kerja penambahbaikkan dilakukan pada malam ini,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, aksi perlawanan beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menentang pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dihentikan dan insiden tersebut turut menjejaskan gelanggang 3 sewaktu perlawanan perseorangan lelaki antara pemain Kanada, Brian Yang menentang jaguh India, H.S. Prannoy.
Dalam pada itu, Pengarah Acara (Operasi Pertandingan) Persatuan Badminton Dunia (BWF), S. Selvaamresh berkata, perlawanan yang ditangguhkan pada perlawanan hari ini akan dibawa ke esok kerana pihaknya enggan mengheret perlawanan tersebut sehingga lewat malam.
“Sekiranya Gelanggang 2 bocor dengan teruk, maka kami akan pindahkan semua permainan ke gelanggang 1 dan 3. Jika itu yang berlaku, permainan pasti akan berlanjutan lebih lama. Kami akan berbincang dengan barisan pengadil untuk bermain sehingga selewat-lewatnya pada pukul 10 malam ini,” kata Selvaamresh. -KOSMO! ONLINE