PETALING JAYA – Tidak dinafikan, menjadi pemilik rumah sewa bukanlah satu perkara mudah kerana perlu berdepan dengan pelbagai ragam penyewa termasuklah ada yang meminta untuk tinggal secara percuma selama seminggu sebagai tempoh percubaan.
Berkongsi cerita, Ayuni Hassan berkata, seorang individu menghubunginya untuk bertanya mengenai perkhidmatan sewa rumah namun terdapat beberapa permintaan yang pelik.
“Boleh pula nak duduk seminggu percuma katanya nak tengok selesa atau tidak. Takut-takut rumah ada gangguan, ada kerosakkan disembunyikan. Manusia macam ini pun ada ya.
“Dia ingat kita buat servis rumah amal, masuk tandas pun bayar dulu baru boleh nak lepas ‘hajat’,” katanya.
Kata Ayuni, individu tersebut turut memaklumkan sekiranya selepas seminggu dia tidak selesa dan ada masalah sepanjang keberadaannya di rumah terbabit, tiada sebarang bayaran akan dibuat.
“Contohnya dalam seminggu kena kacau hantu, atau banyak nyamuk ke apa, dia akan pilih untuk tak sewa dan tak akan buat sebarang bayaran. Kalau semuanya dalam keadaan baik, baru tempoh sewa dikira bermula selepas selesai tempoh percubaan. Scammer ke apa dia ni?,” soal Ayuni.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mendakwa individu terbabit adalah scammer dan itu antara strateginya untuk mendapatkan penginapan secara percuma.
“Sah-sah penipu, dia guna cara sama tipu banyak pemilik rumah, setiap seminggu tukar rumah. Senang dapat tinggal percuma. Kalau ada yang percaya, memang tak bijak la orang itu,” kata Syafiq.
“Ingat rumah ‘bapak’ dia nak duduk seminggu. Orang bisnes, kau pula buat syarat sendiri,” perli Hatezz. – KOSMO! ONLINE