JOHOR BAHRU – Tular satu rakaman video sekumpulan penunggang motosikal ‘mengamuk’ dan mengejar pemandu kereta Proton Wira yang disyaki keluar simpang secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.
Dalam video berdurasi 31 saat itu, beberapa lelaki dipercayai penunggang motosikal bertindak mengejar sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam yang melarikan diri selepas berlaku kemalangan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.30 petang semalam di Jalan Tun Fatimah, Kangkar Tebrau, di sini.
Ujarnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta, seorang lelaki warganegara Pakistan berusia 25 tahun, keluar dari simpang untuk membelok ke kanan jalan.
“Dalam masa yang sama, sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah kanan gagal mengelak lalu melanggar bahagian kanan hadapan kereta tersebut dan sebuah lagi motosikal dari arah kiri turut gagal memberhentikan kenderaan dan melanggar bahagian kiri kereta”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Raub berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan manakala seorang lagi penunggang motosikal dan pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Katanya, punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu kereta yang tidak berhati-hati semasa keluar dari simpang namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes ini disiasat di bawah Rule 3(2)(B) LN166/59.-KOSMO! ONLINE