KUALA LUMPUR – Golongan pekebun kecil kelapa sawit disarankan untuk meningkatkan kadar pengeluaran hasil antara lima hingga 10 tan metrik setahun
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha tersebut sekali gus dapat meningkatkan penghasilan minyak sawit mentah (CPO) bagi tempoh sama.
“1.5 juta hektar ladang-ladang kelapa sawit yang dikendalikan oleh pekebun kecil, kalau mereka meningkatkan pengeluaran lima hingga 10 tan metrik setahun secara tidak langsung akan meningkatkan penghasilan CPO kepada dua hingga 2.5 juta tan metrik setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV Holdings Berhad dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.
Antara fokus utama MoC tersebut adalah untuk memperkasakan pekebun-pekebun kecil dengan menggalakkan mereka mengambil bahagian secara aktif dalam pengeluaran minyak sawit lestari.
Inisiatif bersama FGV dan MPOB ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menyokong
pekebun kecil dalam mematuhi piawaian Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan syarat
kebolehjejakan yang ditetapkan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Ia sekaligus meningkatkan daya saing pekebun kecil dan memudahkan akses ke pasaran minyak sawit premium.
Tambahan lagi, kerjasama antara FGV dan MPOB ini turut memperkenalkan ‘Kebun Angkat’, iaitu sebuah program yang direka untuk pekebun-pekebun kecil terpilih dengan memberi bantuan teknikal serta bimbingan berkenaan amalan pertanian secara lestari. – KOSMO! ONLINE