KLANG – Kegiatan empat nelayan menangkap 150 kilogram (kg) ikan secara haram terbongkar apabila ditahan pihak berkuasa di kedudukan kira-kira 2.55 batu nautika barat Sungai Janggut di sini, hari ini.
Kesemua lelaki termasuk dua warga Myammar berusia 33 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.25 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, rondaan mendapati sebuah vesel kelas B1 sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira kurang lapan batu nautika dari daratan
Katanya ini seterusnya berlakunya aktiviti ‘tarik tepi’ atau atau menunda di zon larangan dibenarkan pihak berkuasa.
“Bot itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan selain tiga kru termasuk dua lelaki warga asing.
“Semakan mendapati dua lelaki Myanmar itu tiada dokumen pengenalan diri sah, permit kerja atau surat kebenaran Ketua Pengarah Perikanan untuk berkerja di atas bot berkenaan,” katanya hari ini.
Menurut Abdul Muhaimin, kesemua nelayan itu dan hasil tangkapan ikan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE