ALOR SETAR -Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah senada dengan kerajaan negeri berhubung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya secara mudah melalui perairan pulau peranginan itu.
Mohd. Suhaimi berkata, sudah tiba masanya perkara itu disiasat secara telus termasuk mengenal pasti punca utama sebelum masalah lebih parah.
“Tentulah ada (tali barut)…sesuatu yang tidak kena di situ apabila PATI mudah bolos. Kalau kita kaji balik, perkara ini boleh jadi satu perniagaan atau ekonomi di mana boleh buat duit.
“Saya tidak mahu tuding jadi kepada sesiapa, tetapi yang penting perkara ini perlu diatasi segera. Orang Langkawi sendiri semakin tidak selesa dengan kemasukan PATI termasuk penempatan di Bukit Malut.
“Penempatan di situ makin bertambah hari demi hari, rumah makin bertambah. Baru-baru ini satu bot ditahan dan dua dihalau, itu yang ‘terkena’ (tahan) yang terlepas kita tidak tahu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Suhaimi berkata, beliau tidak menafikan kedudukan perairan Langkawi yang terletak bersebelahan Thailand memudahkan bot PATI menceroboh negara ini.
“Laut Andaman cuma setengah jam (perjalanan) bot dari perairan Thailand, banyak pulau di situ. PATI ini menunggu sahaja. Tiada kelibat pihak penguat kuasa mereka akan terus masuk.
“Pangkalan kita terletak jauh di Kuah yang mengambil masa dua jam untuk tiba di kawasan itu jika ada aduan. Bila sampai semua PATI sudah tiada. Saya cadangkan satu depot didirikan di Laut Andaman buat sementara waktu bagi memudahkan kawasan itu dipantau. Ada depoh mereka pun gerun,” katanya. – KOSMO! ONLINE