JAKARTA – Seorang nenek berusia 68 tahun maut selepas dipatuk seekor ular tedung sepanjang 2 meter ketika sedang berehat di dalam rumahnya, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku di Bone, wilayah Sulawesi Selatan pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan), mangsa sedang berehat di ruang tamu rumahnya apabila ular tedung tersebut masuk tanpa disedari.
Menurut Ketua Kampung Ajangpulu, Jamil, reptilia tersebut mematuk kaki mangsa.
“Mangsa sedang berehat di rumahnya. Tiba-tiba ada seekor ulang tedung masuk ke dalam rumah dan lantas mematuk tumit kakinya,” kata Jamil.
Mangsa yang ketika itu masih sedar, dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal kurang dua jam kemudian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Daerah Tenriawaru dan meninggal dunia dua jam kemudian,” kata Jamil sambil menambah, ular itu mati dibunuh oleh penduduk setempat. – AGENSI