RIYADH – Kehadiran Sergio Conceicao membawa tuah buat AC Milan apabila berjaya menjulang Piala Super Itali dengan menewaskan seteru setempat, Inter Milan 3-2 pada final yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi awal pagi tadi.
Conceicao, 50, yang baru dilantik pada 30 Disember lalu menggantikan tempat Paulo Fonseca, kini membuktikan Milan mempunyai kredibiliti untuk kembali memulihkan reputasi mereka dalam saingan liga domestik, Serie A.
Begitupun, bekas pengendali Porto itu lebih berminat untuk memberikan segala kredit kepada barisan pemainnya yang sebelum itu menewaskan Juventus di separuh akhir sebelum menumbangkan Inter.
Menariknya, Milan ketinggalan dua gol terlebih dahulu kepada Inter menerusi Lautaro Martinez dan Mehdi Taremi, namun bangkit meledak tiga jaringan melalui Theo Hernandez, Christian Pulisic serta Tammy Abraham.
“Pasukan ini memiliki karakter. Mereka telah menunjukkan dengan memenangi perlawanan ke atas dua pasukan hebat (Juventus, Inter).
“Kami berdepan kesukaran terutamanya di separuh masa pertama. Selepas rehat, saya ada melakukan beberapa perubahan dan ia membuahkan hasil ini (juara Piala Super Itali),” kata Conceicao.
Milan selepas ini akan meneruskan saingan mereka dalam aksi Serie A menentang Cagliari di Stadium San Siro pada 12 Januari ini.
Sebagai rekod, Milan ketika ini menduduki tangga kelapan Serie A selepas mengharungi 17 perlawanan, lapan mata di belakang Lazio di tempat keempat yang merupakan slot terakhir ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. – AGENSI=