PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura telah membuka semula ruang perbincangan bagi menyelesaikan pelbagai isu-isu lama dan tertangguh yang wujud antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, isu-isu berkenaan antara lain termasuk isu bekalan air, persempadanan maritim dan ruang udara.
Beliau berkata, dengan pembukaan semula perbincangan ini, pasukan teknikal kedua-dua negara akan membincangkan parameter-parameter berkaitan.
“Ini adalah isu yang kompleks. Seperti disebut Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong isu itu perlu ditangani secara holistik atau menyeluruh.
“Perbincangan itu penting supaya beberapa perkara yang diminta Singapura dan Malaysia dapat diberi pertimbangan penuh,” katanya pada sidang akhbar bersama Wong di sini, hari ini.
Katanya, penyelesaian akhir hasil perbincangan itu haruslah dalam bentuk situasi menang-menang. – KOSMO! ONLINE