fbpx

Malaysia sedia jadi pemain utama industri bunkering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke ketika berucap di program Hari Korporat Malaysia Tahunan Antarabangsa CGS ke-17, 2025, hari ini. - Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menjadi pemain utama dalam industri bunkering susulan unjuran kadar pertumbuhan tahunan sebanyak empat peratus dalam sektor berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, saiz pasaran global sektor itu yang dijangka mencecah AS$160 bilion menjelang 2030 juga menjadi faktor negara sedang meneroka potensi besar industri terbabit.

“Pelabuhan Tanjung Pelepas, salah satu hab pemindahan penghantaran terkemuka negara, sedang mengalami pengembangan ketara. Dengan terminal seluas 1,900 ekar dan zon bebas seluas 1,600 ekar, ia menyediakan perkhidmatan perkapalan utama.

“Ia juga memainkan peranan penting dalam sektor logistik negara sekali gus menekankan komitmen kami untuk mengukuhkan daya saing maritim Malaysia di peringkat global,” katanya ketika berucap di program Hari Korporat Malaysia Tahunan Antarabangsa CGS ke-17, 2025, di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, tahun ini Malaysia meneruskan dan mengembangkan projek infrastruktur transformatif yang direka untuk memartabatkan negara ke peringkat global.

“Pelabuhan Klang contohnya, ia adalah antara 15 pelabuhan paling sibuk di dunia, yang menjadi asas kepada aktiviti perdagangan dan ekonomi kita. Jadi tahun ini, kita giatkan usaha memodenkan serta memajukan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Peningkatan ini akan meningkatkan kapasiti serta daya pengeluaran dan meletakkan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau yang penting,” ujarnya.

Bagi sektor penerbangan katanya, beberapa lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang dinaik taraf dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri juga antara yang terlibat dalam penambahbaikan ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI