PETALING JAYA – Lima kali mendapat tempat pertama sudah cukup membuktikan betapa penyanyi bernama Liza Aziz sudah cukup saham dalam mengejar gelaran juara Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Minggu lalu, penyanyi berusia 62 tahun itu sekali lagi berjaya memukau barisan juri dan penonton menerusi persembahan penuh bertenaga membawakan lagu Damelo nyanyian asal kumpulan Dolla sehingga layak mendapat markah tertinggi.
Ketua juri, Datuk Ramli MS memuji Liza kerana mampu menghafal lirik lagu Damelo yang sangat panjang ditambah pula terdapat lirik bahasa Sepanyol. Malah kemampuannya membawakan lagu yang dinyanyikan empat penyanyi itu secara solo turut mendapat pujian.
Menerusi tinjauan Kosmo Online dalam media sosial, rata-rata netizen berpendapat anak kepada Seniwati Normadiah dan Seniman Aziz Jaafar itu terlalu hebat untuk berada dalam kelompok perserta GV11 tahun ini.
Malah rata-rata mereka meramalkan Liza bakal bergelar juara dan dia seolah-olah tiada persaingan dalam musim kali ini.
“Terimalah hakikat Liza terlalu hebat untuk bersaing dengan peserta-peserta lain. Peserta lain tidak setanding dengannya. Sepatutnya Liza masuk musim terdahulu bersaing dengan Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Liza Hanim,” komen netizen.
Ada juga netizen yang mula meluahkan rasa bosan untuk terus menonton GV11 kerana sudah mampu meneka siapa peserta yang akan diangkat sebagai juara.
“Tahun ini GV entah apa-apa. Juara dari awal seolah-olah dah tahu. Yang tak patut keluar, dikeluarkan. Yang menyanyi syok sendiri dikekalkan. Entahlah, dah tak tengok GV selepas Yazid tersingkir,” komen netizen.
Hujung minggu nanti Liza akan menyampaikan lagu ‘berhantu’, Masing Masing daripada Ernie Zakri dan dia dijangka akan memberikan persembahan yang hebat sekali lagi.
Antara peserta yang masih berada dalam GV11 bagi merebut gelaran juara ialah Ning Baizura, Dadali Dyrga, Sheila Abdul, Zehra Zamri, Fairuz Selamat, Arrora Salwa, The Lima dan Ronnie Hussein. – KOSMO! ONLINE