LONDON – Spekulasi mengenai bintang Liverpool, Mohamed Salah semakin hangat apabila laporan mendedahkan kelab itu sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk penyerang Bayern Munich, Leroy Sane sebagai pengganti.
Menurut sumber, Liverpool kini memantau rapat situasi Sane dan bersedia mengemukakan tawaran dalam beberapa bulan akan datang terutamanya jika Salah membuat keputusan untuk meninggalkan Anfield pada penghujung musim ini.
Sane yang pernah menyarung jersi Manchester City, memiliki rekod cemerlang di Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk merangkul kejuaraan liga dan dengan pengalaman itu, Sane dilihat mampu menyesuaikan diri dengan pantas, sekali gus memberikan impak segera kepada Liverpool.
Namun, persoalan besar adalah sama ada Liverpool mampu memujuk pemain berusia 27 tahun itu untuk kembali ke EPL, memandangkan dia kini berada di puncak prestasinya bersama Bayern dan menjadi tonggak penting kelab tersebut.
Selain itu, tugas menggantikan Salah juga bukan mudah buat Sane selepas bintang Mesir itu telah menjadi penjaring gol utama kelab itu serta pemain yang sering membantu barisan pertahanan.
Oleh itu, The Reds mungkin memerlukan lebih daripada seorang pemain untuk mengisi kekosongan besar yang bakal ditinggalkan Salah. – AGENSI