BANGKOK – Polis Thailand memburu seorang lelaki yang menyamar sebagai anggotanya dan menyelongkar beg orang awam secara rambang, lapor laman berita Thaiger.
Polis daerah Khun Han, wilayah Sisakte berkata, suspek bukan anggotanya dan usaha sedang dilakukan untuk menangkap lelaki tersebut selepas menerima beberapa laporan daripada orang awam.
Sebuah akaun media sosial sebelum ini memuat naik video dan gambar mengenai insiden suspek menyelongkar beg seorang mangsa.
Seorang lelaki bernama Chaiwat Saiboa, 20, berkata, dia berhadapan dengan suspek yang memakai baju penjaja jalanan dan menjual roti pada awal pagi 2 Januari lalu.
Ketika keluar dari sebuah kedai, Chaiwat didekati lelaki tersebut sebelum beg miliknya diselongkar.
Kata Chaiwat, individu tersebut mendakwa dirinya merupakan pegawai polis yang menyamar dan mahu memeriksa beg miliknya.
Chaiwat berkata, dia percaya suspek bukan lelaki tempatan memandangkan bahasa Thai yang ditutur berbunyi aneh.
Namun, tiada barangan miliknya hilang dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Khun Han, Kolonel Polis Phrith Boonpok memberi jaminan kepada orang ramai bahawa suspek bukan sebahagian daripada pasukannya.
Phrith telah mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan dan memburu individu tersebut.
“Kami menggesa orang ramai untuk segera melaporkan sebarang kejadian serupa kepada polis.
“Pegawai sebenar akan sentiasa mengesahkan diri mereka, menyatakan unit dengan jelas dan membawa kad pengenalan polis,” katanya. – AGENSI