TAIPING – Seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui meninggal dunia dalam sebuah rumah berkunci di Kampung Boyan di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.42 tengah hari tadi.
“Seorang lelaki ditemui sudah meninggal dunia di dalam rumah berkunci. Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu bagi mengeluarkan mangsa,” katanya hari ini.
Sabarodzi berkata, anggota bomba kemudian membantu polis mengangkat mayat mangsa.
Operasi melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping itu tamat pada pukul 2.22 petang. – KOSMO! ONLINE