JEMPOL – Seorang lelaki maut ketika menerima rawatan di hospital selepas motosikal yang dia tunggangidirempuh sebuah pikap di kilometer enam, Jalan Air Hitam Serting Ulu, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa iaitu lelaki berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Jempol dan disahkan meninggal dunia pukul 8 malam.
Menurutnya, berdasarkan siasatan kemalangan melibatkan pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 58 tahun dari arah Serting Ulu menuju ke Air Hitam dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR ditunggangi mangsa dari arah bertentangan.
“Setiba di lokasi kejadian ketika itu cuaca hujan, pemandu tersebut dipercayai telah hilang kawalan selepas melepasi selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran.
“Pemandu pikap tidak mengalami kecederaan, namun penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.00 malam semasa menerima rawatan di hospital tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.- KOSMO! ONLINE