KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin membuka kempen Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia dengan kekecewaan apabila tersingkir seawal pusingan pertama sejurus tumbang ditangan pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Hung Eng Tzu di Axiata Arena sebentar tadi.
Pada kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut, gandingan negara itu yang turun selaku pemain ranking 20 dunia dilihat kecewa apabila gagal memanfaatkan peluang yang terhidang sebelum tumbang 26-28, 21-14, 22-24 dalam tempoh 66 minit.
Pang Ron menegaskan, pertukaran strategi permainan ketika mendahului perlawanan memakan diri apabila membuka ruang kepada pasangan Taiwan untuk memenangi perlawanan tersebut biarpun mereka mendahului set pertama dengan mata yang agak jauh.
“Sememangnya dari segi semua aspek kita lagi bagus tetapi pada hari ini mereka (Ming Che-Eng Tzu) bermain dengan baik. Pada set pertama kita mendahului perlawanan dengan kelebihan mata yang jauh dan selepas itu mereka dapat kejar balik.
“Jadi, ketika itu mental kita mula terjejas kerana telah mendahului perlawanan dengan kiraan mata yang jauh. Saya fikir, disebabkan itu kita hilang fokus sikit kerana saya akui strategi permainan kami memang baik.
“Selepas tukar strategi permainan, semua jadi serba tidak kena. Pihak lawan juga semakin yakin dan mereka dapat kuasai perlawanan dengan mendapat mata yang banyak,” kata Pang Ron.
Pada perlawanan tersebut, Pang Ron-Su Yin bermula dengan garang apabila mendahului set pertama dengan tujuh mata, 12-5, namun gagal mengekalkan momentum tersebut sebelum tumpas set pertama 26-28 sepanjang 22 minit perlawanan berlangsung.
Biarpun kembali mengatur rentak dan berjaya mengheret perlawanan ke set ketiga, gandingan muda negara tersebut sekali lagi ditekan hebat sebelum tumbang kepada pasangan lawan ranking No. 51 dunia tersebut.
Selepas ini, Pang Ron-Su Yin sudah boleh mengalihkan fokus mereka pada kejohanan berikut iaitu Terbuka India yang bermula 14-19 Januari ini nanti -KOSMO! ONLINE