KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao kini mengharapkan magis sentuhan ketua jurulatih baharu negara, Kenneth Jonassen untuk membentuknya menjadi pemain lebih baik selepas ditunjukkan jalan keluar lebih awal di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, sebentar tadi.
Pemain negara itu terpaksa akur dengan kehebatan pemain China, Lu Guang Zu apabila tewas dalam perlawanan tiga set menerusi keputusan 17-21, 21-16, 13-21 dalam tempoh 80 minit perlawanan di Axiata Arena.
Bagi Jun Hao, dia yang membuat kemunculan sulung pada kejohanan berstatus Super 1000 tersebut telah memberikan sehabis baik dan mengakui lawannya ranking No. 16 dunia tersebut lebih berpengalaman.
Justeru, juara remaja Asia sekali gus mengharapkan tunjuk ajar jurulatihanya, Jonassen dalam persiapan untuk Terbuka India yang berlangsung pada 14-19 Januari ini nanti.
“Bagi saya memang rasa kecewa kerana perlawanan tersebut ternyata memang sukar. Saya telah mencuba sedaya upaya kerana cubaan untuk mengejar mata demi mata juga sukar kerana sudah ketinggalan agak jauh.
“Mungkin dia (Guang Zu) adalah pemain yang lebih berpengalaman dan saya terpaksa akur dengan keputusan ini. Pada hari ini saya telah keluarkan apa yang saya ada.
“Mengenai jurulatih baharu, semua tahu Kenneth dari Eropah dan mungkin strategi serta permainan mesti akan ada taktikal baharu.
“Mengenai kekalahan hari ini, saya anggap ia sebagai pengajaran terbaik untuk dibawa ke kejohanan akan datang. Saya akan terus menjalani latihan esok,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan. -KOSMO! ONLINE