fbpx

Jangan jadikan Kaabah tempat buat ‘content’ jual produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jemaah umrah melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, baru-baru ini. -Foto oleh NORLIDA AKMAR IDROS

MEKAH – Jemaah umrah dan haji diingatkan tidak menjadikan Kaabah sebagai tempat mempromosikan produk, sebaliknya memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah tersebut.

Mutawif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Muhamad Zaki Ridzuan atau dikenali sebagai Pak Tam berkata, terdapat individu termasuk segelintir peniaga online dan pempengaruh yang membuat kandungan di depan Kaabah bagi tujuan berniaga.

“Bila datang ke Mekah ini, Alhamdulillah bagus tetapi kalau datang semata-mata nak buat ‘content’, itu tidak bagus. Sampai depan Kaabah nak buat ‘content’ jual produk, bukan tempatnya lah kan.

“Kalau nak berniaga, cari jalan lain kerana banyak lagi cara lain untuk mempromosikan produk,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut melarang jemaah melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu di Makam Nabi Muhammad SAW.

“Janganlah sampai Makam Nabi Muhammad SAW pun nak buat konten, nak cari makan dengan cara begitu, tidak sesuai,” ujarnya.

Kata Muhamad Zaki, perbuatan ‘terkinja-kinja’ atau kelakuan tidak beradab di depan Kaabah secara melampau juga perlu dielakkan.

“Agama Islam tidak suruh pun kita berkelakuan melampau seperti itu, kita buat apa yang agama suruh dan jangan melampau.

“Waktu-waktu lain dah lalai, takkan masa depan Kaabah pun kita nak lalai. Masa mana lagi kita nak ada kenangan dengan Tuhan kita,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan kepada seluruh jemaah agar mengerjakan ibadah tersebut dengan sebaiknya bagi mendapatkan umrah dan haji yang mabrur.

Sebelum ini, terdapat rakyat Malaysia yang dikecam kerana membuat konten selain mempromosi produk di depan Kaabah di Masjidil Haram, Mekah serta di Masjid Nabawi di Madinah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI