fbpx

Hakim tegur Avitan Shalom mahu jurubahasa pada saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Avitan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen pada prosiding lalu.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen hari ini menegur tindakan lelaki warga Israel Avitan Shalom yang memohon khidmat jurubahasa pada saat akhir sebelum perbicaraan bermula.

Semasa prosiding hari ini, Hakim Norina Zainal Abidin bertanya sendiri kepada Avitan apakah jenis bahasa yang difahami memandangkan pada perbicaraan hari pertama yang sepatutnya bermula semalam tertuduh memohon jurubahasa Ibrani.

Hakim: Avitan apa bahasa yang kamu faham (bagi perbicaraan ini)?
Avitan: Saya faham bahasa Ibrani, namun memahani bahasa Inggeris yang mudah. Saya juga tidak boleh berbahasa Arab.

Hakim: Masa yang diambil hampir sembilan bulan dan sepanjang tempoh itu anda diwakili oleh peguam. Isu jurubahasa tidak pernah dibangkitkan atau dibawa ke perhatian mahkamah sama sekali semasa pengurusan kes tersebut. Hasrat kamu meminta jurubahasa dibawa kepada mahkamah pada saat akhir hari pertama perbicaraan yang sepatutnya dimulakan.

Hakim Norina kemudian menetapkan 13 Januari ini bagi bicara hari pertama kes itu dengan tarikh-tarikh yang ditetapkan pada minggu ini dilapangkan.

“Selepas tiada bantahan pihak-pihak (pendakwaan dan pembelaan) termasuk hak tertuduh dan bahasa yang difahami, mahkamah akan memberi satu peluang lagi bagi jurubahasa Ibrani. Oleh itu, kes akan ditangguhkan ke Isnin ini (13 Januari),” katanya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan kes itu dengan tarikh-tarikh perbicaraan pada 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada Januari 2025.

Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan ks tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Avitan, 39, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Lelaki itu juga didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan dalam bilik sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI