SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 18 Februari depan sebagai tarikh baharu keputusan representasi seorang gadis berkaitan pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan pengabaian terhadap empat kanak-kanak di sebuah pusat jagaan yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) pada Ogos tahun lalu.
Prosiding sebutan semula kes tersebut didengar di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Terdahulu pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Intan Noorashikin Nasarudin dan Norazihah Asmuni memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka telah menerima surat representasi kes pada 26 dan 27 Disember lalu.
Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa surat representasi tersebut sedang diteliti oleh Pejabat Pendakwaan Negeri sebelum dirujuk kepada pihak Pejabat Peguam Negara (AGC).
Pada prosiding hari ini, peguam Mohd. Hanif Hassan menyebut bagi pihak peguam, Doreena Abdullah yang mewakili tertuduh Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20.
Puteri Nurin Amalin kini masih direman di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas gagal membayar jaminan keseluruhan sebanyak RM80,000. – KOSMO! ONLINE