BEIJING – Satu gempa bumi kuat menggegarkan rantau Tibet di China hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan ‘banyak bangunan’ runtuh dengan gegaran turut dirasakan di ibu negara Nepal, Kathmandu serta beberapa kawasan di India.
Rakaman video stesen penyiaran rasmi China, CCTV menunjukkan rumah-rumah runtuh dan serpihan menimbun selepas gempa bumi berlaku.
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 itu melanda Daerah Dingri dekat sempadan Nepal pukul 9.05 pagi(waktu tempatan), demikian menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China. Jabatan Geologi Amerika Syarikat pula melaporkan bahawa kekuatan gegaran adalah 7.1 magnitud.
“32 orang disahkan mati dan 38 mangsa cedera semasa gempa berkekuatan 6.8 menggegarkan Daerah Dingri di bandar Xigaze, Wilayah Autonomi Tibet pukul 9.05 pagi,” lapor agensi berita Xinhua.
Daerah Dingri dan kawasan sekitarnya mengalami gegaran kuat, manakala banyak bangunan berhampiran pusat gempa runtuh.
Menurut Xinhua, pihak berkuasa tempatan berusaha untuk sampai ke beberapa kawasan perbandaran untuk menilai kesan gempa.
Suhu di Dingri ialah kira-kira -8 darjah Celsius dan diramal menjunam kepada -18 Celsius pada waktu malam, kata Pentadbiran Meteorologi China.
Kira-kira 62,000 orang tinggal di daerah tanah tinggi tersebut. – AFP