LIVERPOOL – Walaupun memuji persembahan para pemain, Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui belum berpuas hati dengan prestasi dipamerkan ketika mereka terikat 2-2 menentang Liverpool di Anfield awal pagi semalam.
Pengurus dari Portugal itu sedar bahawa para pemain United sentiasa berada di zon selesa sehingga memberikan kesan buruk kepada persembahan pasukan menyebabkan beberapa kenyataan dan tindakan diambilnya sebelum ini dianggap sebagai ‘kejutan’.
“Saya sentiasa berikan motivasi setiap hari tetapi mungkin ia bukan jalan terbaik. Saya sentiasa beri cabaran kepada pemain kerana semua orang di kelab ini berada dalam situasi terlalu selesa.
“Jadi saya fikir adakalanya kami perlukan kejutan dan kita boleh lihat pada kali ini, kami adalah pasukan yang berbeza. Ini adalah petanda bagus dan saya teruja dengan persembahan pasukan. Saya anggap kami melakukan tugas dengan baik,” katanya.
Pada aksi tersebut, United terlebih dahulu di hadapan menerusi Lisandro Martinez sebelum Liverpool meledak dua gol melalui Cody Gakpo dan sepakan penalti Mohamed Salah, namun Amad Diallo muncul penyelamat menerusi gol penyamaan.
United juga hampir melakukan kejutan pada hujung permainan apabila Harry Maguire yang menerima hantaran Joshua Zirkzee melepaskan rembatan yang melewati palang sebelum wisel penamat dibunyikan. – AGENSI