fbpx

Empat lelaki ditahan curi buah sawit di Beruas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

LUMUT – Empat lelaki ditahan polis di sebuah rem sawit di Pantai Remis dekat sini berkaitan kes curi buah sawit di sebuah kebun di Beruas pada 2 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima maklumat mengenai kes kecurian sawit daripada pengadu pada tarikh berkenaan kira-kira pukul 1 petang.

Katanya, pengadu memaklumkan bahawa dia telah ke kebunnya kira-kira pukul 11 pagi dan mendapati buah sawit telah diambil orang dengan kerugian ditanggungnya dianggarkan sebanyak RM500.

“Kejadian kecurian berulang menyebabkan pengadu terus membuat laporan polis untuk tindakan.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis Pantai Remis telah berjaya menangkap empat lelaki bersama rampasan satu buku resit jual beli di rem sawit Pantai Remis,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Hasbullah berkata, kesemua tangkapan telah dipohon reman dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, sepanjang 2024, pihak polis telah membuka 12 kertas siasatan kecurian buah sawit dalam daerah Manjung melibatkan tangkapan seramai 13 orang dengan tujuh kertas siasatan telah selesai dituduh di mahkamah.

“Bagi tahun ini, dua kertas siasatan telah dibuka melibatkan lima tangkapan dan kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Beliau menasihati pemilik-pemilik rem sawit dalam daerah Manjung supaya melakukan urus niaga buah sawit mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan tidak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang.

“Tindakan permohonan batal lesen perniagaan akan dibuat sekiranya terdapat pemilik rem yang didapati terlibat dengan kes jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI