LONDON – Pengendali Newcastle United, Eddie Howe tekad untuk membantu menamatkan kemarau 70 tahun pasukan dalam misi menjulang trofi berprestij menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Arsenal awal pagi esok.
Sebagai rekod, The Magpies yang dianggap sebagai salah satu pasukan gergasi di England masih gagal menjulang sebarang kejuaraan bermakna sejak bergelar juara Piala FA edisi 1955.
Pencapaian terbaik Newcastle dalam saingan Piala EFL ketika beraksi di pentas final edisi 2022 sebelum tewas kepada Manchester United di Stadium Wembley.
Justeru, Howe mencabar barisan pemain memberikan 100 peratus di atas padang selepas beraksi konsisten dengan melakar enam kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
“Misi saya untuk menamatkan penantian trofi pasukan dan saya percaya Newcastle mampu memecahkan rekod tersebut.
“Sudah tentu kami tidak mahu sekadar beraksi di pentas separuh akhir dan saya lihat barisan kejurulatihan serta pemain cukup komited untuk memastikan pasukan dapat melangkah ke pentas final musim ini.
“Mengenai prestasi semasa, saya akui pasukan sudah berada pada tahap yang luar biasa dengan momentum enam kemenangan tetapi saya percaya masih ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.
Sementara itu, Howe turut memberi bayangan bakal merombak kesebelasan utama selepas beberapa tonggak seperti Bruno Guimaraes, Sandro Tonali, Jacob Murphy, Anthony Gordon dan Alexander Isak sudah beraksi lima perlawanan berturut-turut.
“Saya sebenarnya tidak mahu menggunakan pemain sama tetapi sudah tentu sukar membuat perubahan apabila barisan kejurulatihan sudah menemui ramuan untuk melakar kemenangan.
“Namun, saya tidak pasti sama ada bakal menurunkan kesebelasan yang sama ketika bertemu Arsenal kerana saya jangka perlawanan sukar nanti,” katanya. – AGENSI