KUALA LUMPUR – Seorang bekas pramugara dan dua rakannya dihukum penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan mengedar kanabis seberat 707.05 gram dan menanam ganja empat tahun lalu.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhi hukuman itu terhadap K. Karthik, 40, bersama bekas pengurus kilang, C. Praveen, 35, dan bekas jurujual, Muhammad Afiq Mohd. Ali, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan pertama dan hukuman penjara seumur hidup serta enam sebatan bagi pertuduhan kedua,” kata hakim itu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Disember 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syajaratudur Abd. Rahman, manakala tiga tertuduh masing-masing diwakili peguam M. Mathavan, M. Manoharan dan Mohd. Yusoff Awang Lah.
Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan bermula pada September 2023, manakala ketiga-tiga tertuduh merupakan saksi pembelaan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar 707.05g kanabis di sebuah kondominium di Pantai Sentral, Brickfields di sini pukul 10 pagi pada 14 Disember 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menanam ganja di lokasi pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seksyen itu membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan. – KOSMO! ONLINE