IPOH – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau menerima dua tiub spesimen darah milik Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, dan Deputi Superintendan (DSP) Mohd. Nazri Abdul Razak pada 18 Disember 2023.
Saksi pendakwaan ke-32, Asisten Superintenden Chua Sze Yuan, 38, berkata, turut diterima dua bekas berisi spesimen air kencing milik suspek.
“Semua spesimen itu dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya pada keesokan harinya untuk ujian toksikologi,” katanya ketika membacakan penyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Terdahulu, Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh itu memberitahu, beliau menerima rakaman video menunjukkan sebuah motosikal diekori kereta Perodua Ativa berwarna putih.
Katanya, rakaman video yang diterima melalui WhatsApp itu merupakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah rumah di Gerbang Meru Indah.
“Saya juga menerima rakaman video daripada seorang lelaki yang diekstrak daripada CCTV miliknya menunjukkan bumbung sebuah kenderaan melalui jalan dan (selepas itu) orang ramai berkerumun.
“Saya turut menerima maklumat daripada Inspektor Jong Pit Chao berhubung dua rakaman dashcam kenderaan semasa kejadian dan arahkan beliau untuk serahkan rakaman tersebut melalui Whatsapp.
“Setelah saya teliti rakaman video itu, saya mengarahkan beliau untuk mengesan dan memanggil pemilik rakaman video tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE