PETALING JAYA – Tindakan seorang kanak-kanak lingkungan umur antara 10 hingga 13 tahun dilihat dengan bangga menghisap vape atau rokok elektronik secara terbuka di kawasan awam.
Menerusi rakaman yang dikongsikan pengguna Facebook, Mohammad Fariz, kanak-kanak terbabit sempat menunjukkan isyarat ‘good’ (bagus) ketika menyedari aksinya dirakam oleh individu lain.
Rakaman tersebut turut memaparkan lagak kanak-kanak itu seperti orang dewasa setiap kali dia menyedut dan menghembuskan asap vape berkenaan.
Kanak-kanak itu turut ditemai seorang rakannya yang kelihatan lebih berusia darinya dan kedua-dua mereka turut memegang beberapa keping wang kertas.
Perkongsian Mohammad Fariz mendapat perhatian netizen dan video tersebut berjaya meraih lebih 573,000 tontonan.
“Sedih tengok budak-budak kecil macam ini (hisap vape),” kata Mia Dania.
Sementara itu, ada juga menyalahkan ibu bapa atau penjaga di rumah yang secara terbuka menghisap vape dan rokok di depan anak-anak sehingga mempengaruhi mereka untuk melakukan perkara sama.
“Susah mahu komen, ada budak-budak ini meniru gaya bapa mereka yang kaki rokok. Mereka nampak sejak masih kecil lagi gaya bapa merokok,” kata Marz Mike.
“Kesian anak-anak ini tak dipantau oleh orang tua. Masih budak-budak sudah buat perkara tak sepatutnya,” ujar Ferra. – KOSMO! ONLINE