fbpx

Bot Thailand bawa rokok seludup RM14.8 juta ditahan di tengah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Erwan Shah (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas di dalam sebuah bot di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di Pasir Puteh hari ini. -Foto TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Kegiatan sekumpulan warga Thailand yang menjadi dalang dalam kegiatan menyeludup sebanyak 105,250 karton rokok seludup bernilai RM14.8 juta termasuk cukai masuk ke negara ini terbongkar selepas sebuah bot vesel ditahan di perairan Kelantan di Pengkalan Kubor dekat sini kelmarin.

Bot yang membawa tujuh orang kru ditahan di lokasi 31.5 kilometer dari Pengkalan Kubor semasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menjalankan operasi di kawasan tersebut.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, vesel laut dalam yang tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 1.30 tengah hari di tengah laut.

Menurutnya, bot berkenaan cuba untuk lolos dengan menuju ke perairan Thailand selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum ia berjaya dipintas 15 minit kemudian.

“Pemeriksaan mendapati, vesel tersebut membawa tujuh orang kru berusia dalam lingkungan 21 hingga 47 tahun.

“Lima kru memiliki dokumen pengenalan diri yang mencurigakan manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen sah. Empat daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Erwan Shah memberitahu, siasatan awal mendapati, vesel berkenaan disyaki berperanan sebagai pembekal rokok seludup ke negara ini.

Menurutnya, kesemua lebih 21 juta batang rokok itu dipercayai akan diambil oleh rangkaian penyeludup di tengah laut menggunakan bot pancung sebelum ia diedarkan untuk pasaran luar Kelantan.

“Bot tersebut yang diubah suai sebagai bot cargo dikesan membawa sebanyak 2,105 buah kotak besar rokok seludup. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot itu dianggarkan bernilaI RM16.5 juta,” katanya.

Erwan Shah berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 manakala bagi empat kru yang positif dadah disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI