BANDAR RAYA NEW YORK – Bandar Raya New York menjadi lokasi pertama di Amerika Syarikat menguatkuasakan sistem caj kesesakan untuk kenderaan dengan mengenakan bayaran sehingga AS$9 (RM40) sehari kepada pemandu.
Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, bayaran tersebut berbeza untuk jenis kenderaan dan ketika di luar waktu puncak, manakala pemandu yang memasuki zon kesesakan pada waktu puncak perlu membayar jumlah tersebut.
“Sistem ini beroperasi bermula tengah malam Ahad lepas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Transit Metropolitan (MTA), Janno Lieber.
Sebanyak 400 lorong trafik di bandar raya itu kini mempunyai lebih 1,400 kamera, dengan lebih 110 titik pengesanan serta 800 papan tanda.
Zon sesak itu meliputi kawasan di selatan Central Park, melibatkan lokasi-lokasi popular seperti Bangunan Empire State, Times Square dan daerah kewangan di sekitar Wall Street.
Skim itu bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di New York dan mengumpul dana berbilion-bilion dolar untuk menambah baik rangkaian pengangkutan awam.
Lori kecil dan bas bukan komuter perlu membayar AS$14.40 (RM65) untuk memasuki Manhattan pada waktu puncak, manakala lori lebih besar dan bas pelancong dikenakan bayaran AS$21.60 (RM97). – AGENSI