HULU SELANGOR – Kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun kehilangan bapanya selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah lagi motosikal berhadapan simpang masuk Taman Kemboja di Jalan Persiaran Tasik Teratai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kemalangan meragut nyawa lelaki berusia 29 tahun itu berlaku kira-kira pukul 8.50 malam.
Katanya, dua beranak menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC telah bertembung motosikal Modenas yang dinaiki dua remaja lelaki, 14.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 135LC (dinaiki bapa dan anaknya) dalam perjalanan ke Pekan Sentosa dari rumahnya di Bukit Beruntung bertembung dengan motosikal jenis Modenas yang cuba melintas ke simpang Taman Kemboja.
“Akibat dari kemalangan tersebut, penunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat manakala anaknya menerima rawatan di hospital sama kerana luka kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, penunggang motosikal Modenas mengalami patah kaki, cedera muka dirawat di Hospital Selayang, manakala pembonceng cedera tapak kaki kanan dirawat di HKKB.
“Kedua-dua kenderaan ditahan untuk siasatan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.